Tuesday, March 18, 2008

Pulau Langkawi

Langkawi merupakan salah satu daripada daerah dalam negeri Kedah Darul Aman, Malaysia. Pulau Langkawi diberi status bebas cukai pada tahun 1987. Kini, pulau yang kaya dengan keindahan semulajadi dan legenda masa silam ini telah menampilkan diri sebagai salah satu daripada destinasi perlancongan yang paling popular di Malaysia. Langkawi sebenarnya merupakan suatu gugusan pulau di mana Pulau Langkawi merupakan yang terbesar.

Gugusan Pulau Langkawi terletak di sebelah barat negeri Kedah dan Perlis, Semenanjung Malaysia. Pulau Langkawi di perairan Selat Melaka, betul-betul berhampiran dengan mulut Selat Melaka, Laut Andaman di sebelah Barat Laut dan Lautan Hindi di sebelah Barat. Di seberang pulau Langkawi ialah pulau Sumatra di Indonesia.

Terdapat 104 pulau dalam gugusan pulau Langkawi, satu pembentukan dari hanyutan benua yang membentuk Asia Tenggara. Titik tertinggi di Langkawi ialah puncak Gunung Raya yang mempunyai ketinggian 890m di atas aras laut.

Antara tempat-tempat yang menarik terdapat di Langkawi ialah Gunung Mat Chincang, Dataran Helang, Beras Terbakar, Kuah dan banyak lagi.

Cameron Highland

Cameron Highlands merupakan sebuah pusat peranginan dataran tinggi yang terkenal di Semenanjung Malaysia. Cameron Highland terletak di barat daya negeri Pahang, sebuah negara yang kaya dengan khazanah hutan alamnya. Cameron Highlands terletak setinggi 1,829 meter dari permukaan laut dan bersuhu antara 10 hingga 20 darjah celsius. Keindahan Cameron Highlands akan memukau hati siapapun yang berkunjung ke sana.

Selain menjadi sebuah pusat peranginan, Cameron Highland juga terkenal dengan pengeluaran hasil tanaman seperti teh, buah-buahan, sayur-sayuran dan bunga yang bermutu tinggi dan ada yang jarang didapati ditempat lain. Ini kerana keadaan cuaca yang sejuk dan segar amat sesuai untuk tanaman-tanaman tertentu sahaja contohnya daun teh, bunga-bunga seperti bunga teluki dan buah stawberry. Tumbuhan iklim hawa sederhana juga boleh ditanam di kawasan ini.

Di sini juga terdapat sebuah petempatan orang Melayu yang pertama di Cameron Highland, Kampung Taman Sedia merupakan sebuah kampung yang terletak di lembah antara Tanah Rata dan Brinchang menawarkan pakej penginapan Homestay untuk para pengunjung.

Sekiranya anda berkunjung ke Cameron Highland, cubalah membeli hasil-hasil tanaman ladang kerana harganya bukan sahaja berpatutan bahkan masih segar kerana baru sahaja dipetik secara langsung dari ladang.

Jika anda gemar memandu kereta, jangan lepaskan peluang untuk memandu di Jalan Gunung Brincang kerana jalan tersebut adalah jalan raya yang tertinggi di Malaysia.

Ulu Bendul

Hutan Lipur Ulu Bendul terletak di Hutan Simpan Angsi yang mempunyai jenis Hutan Dipterokarp Pamah. Terletak 20km dari Pekan Kuala Pilah melalui Jalanraya Kuala Pilah ke Seremban, 20 Km dari Bandar Seremban.

Daya tarikan hutan lipur ini ialah terdapatnya Gunung Angsi yang merupakan sebahagian dari Banjaran Titiwangsa dengan ketinggian 825 meter. Untuk sampai ke puncak, pengunjung boleh memulakan pendakian melalui hutan lipur ini dengan menyusuri Sungai Batang Terachi. Hutan lipur ini sesuai untuk aktiviti lasak, berkelah, berkhemah atau bersiar-siar.

Sungai yang mengalir di tengah-tengah hutan lipur dan pembentukan batu-batan yang bertindak sebagai benteng dan landskap semulajadi di sepanjang sungai menjadikan hutan lipur ini satu kawasan yang unik untuk dikunjungi dan bermandi-manda.

Pelbagai kemudahan yang serba lengkap seperti kawasan perkhemahan, chalet dan lain-lain prasarana menjadikan hutan lipur ini salah satu destinasi pelancongan eko utama di Negeri Sembilan.

Desaru

Nama Desaru itu yang berasal dari perkataan Desa Rhu (pokok ru) terletak kira-kira 98 kilometer dari Bandar raya Johor Bahru bukan sahaja digemari oleh pelancong tempatan malahan pelancong asing.

Pantainya sepanjang kira-kira 25 kilometer itu sesuai untuk aktiviti laut termasuk memancing, menyelam, gelungsur air, berenang dan sukan laut yang lain.

Kedudukannya yang sesuai sebagai kawasan percutian telah menggamit kehadiran para pelancong dan bagi memenuhi permintaan penginapan terdapat banyak hotel, resort dan juga calet telah didirikan di sekitar kawasan tersebut.

Keseluruhan kawasan percutian di Desaru itu merangkumi kawasan seluas 1,619 hektar dengan mempunyai kira-kira 12 tempat penginapan yang menawarkan kira-kira 5,000 bilik.Ia juga menawarkan padang gol yang keseluruhan berjumlah sebanyak 45 lubang termasuk 18 lubang direka oleh Robert Trent Jones Jr. Desaru juga menawarkan kawasan taman tema, bandar, kawasan penginapan termasuk untuk bercuti, marina, kawasan ‘eco-tourism’ dan pusat kesihatan.

Untuk tiba ke Desaru, perjalanan dari Johor Bahru memakan masa kira-kira 1 jam 30 minit pada jarak 98 km dan sebelum tiba di kawasan peranginan itu, orang ramai akan menjumpai Bandar Penawar terlebih dahulu.

Pulau Berhala, Sandakan

Pulau Berhala terletak di luar pintu masuk Teluk Sandakan berdepan dengan perkampungan Sim-Sim. Antara yang unik di pulau ini adalah dua buah bukit batupasir yang bercantum dengan ketinggian 600 kaki.

Di atas bukit terdapat rumah api. Kawasan curam bukit tersebut adalah Hutan Simpanan di mana terdapat banyak tumbuhan tempatan yang hanya boleh didapati di kawasan pinggir laut yang menjadi tumpuan ahli botani.

Terdapat sebuah kampung di bahagian barat pulau yang bersambung dengan tanah lapang ke pantai yang dilengkapi dengan kemudahan perkelahan. Di hujung bahagian Selatan pulau ini terdiri daripada tebing karang yang curam berwarna kemerah-merahan.

Terdapat beberapa gua di tebing karang ini. Sebelum Perang Dunia Ke-2 Pulau Berhala pernah digunakan sebagai penempatan pesakit kusta, manakala semasa Perang Dunia ke-2 pula Orang Jepun menggunakan Pulau Berhala sebagai ‘Pusat Tahanan Perang’. Pada masa ini Pulau Berhala merupakan salah sebuah tempat perkelahan yang terkenal.

Monday, March 17, 2008

Pulau Redang

Pulau Redang merupakan satu kawasan pulau yang direzabkan untuk aktiviti "marin park" yang dikendalikan oleh Jabatan Laut Malaysia. Keunikannya disebabkan pantainya yang cantik serta mempunyai batu karang yang terbesar di Asia.

Untuk ke Pulau Redang, anda hanya mengambil masa 45 minit dari Kuala Besut dan 1 jam 30 minit dari Bandar Kuala Terengganu.

Terdapat beberapa pulau kecil yang menarik untuk dilawati sekitar Pulau Redang antaranya Pulau Kerengga Besar, Pulau Kerengga Kecil , Pulau Paku Besar dan Pulau Limau. Namun demikian sebagai tarikan utama kepada pelancong, Pulau Redang masih lagi mengekalkan kehijauan serta bentuk muka buminya.

Hari ini, Pulau Redang menyediakan aktiviti-aktiviti rekreasi yang terhad kepada aktiviti pasif yang berasaskan laut seperti snorkling dan scuba diving. Kewujudan chalet serta rumah peranginan juga berasaskan aktiviti marin. Kewujudan terumbu karang serta pantai yang cantik merupakan tarikan utamanya.

Thursday, March 13, 2008

Cherating

Pantai peranginan Cherating memang sudah tidak perlu diperkenalkan lagi. Keindahan pantainya memang sudah ramai yang sedia maklum. Terletak di negeri Pahang dan bersempadan dengan negeri Terengganu, pantai peranginan ini sentiasa menggamit kedatangan pelancong. Pantainya yang putih, bersih dan dipenuhi dengan pepohon rhu memang sesuai untuk berkelah bersama keluarga mahupun rakan-rakan.

Pengunjung yang gemarkan cabaran boleh menyusuri Sungai Cherating dengan air sungai yang tenang. Di beberapa tempat, anda dapat melihat perkampungan nelayan didirikan atas air. Pencinta burung dinasihatkan membawa teropong kerana banyak spesies tempatan dan penghijrah yang menjadikan hutan pinggir laut itu sebagai kediaman sementara.

Sebelum pulang, pastikan singgah sebentar di Santuari Penyu Cherating yang menawarkan pengalaman berdamping dengan hidupan yang kian diancam kepupusan itu. Petugas pusat perlindungan ini akan mengutip telur untuk dieram sebelum ia dilepaskan kembali ke laut.

Bagaimanapun, tarikan sebenar Cherating masih terletak pada suasana perkampungan Melayu di sepanjang persisiran pantainya.

Thursday, March 6, 2008

Genting Highland

Genting Highland yang terletak pada ketinggian lebih kurang 2000 meter dari paras laut merupakan salah satu tempat peranginan tanah tinggi yang terkenal dikalangan penduduk tempatan mahupun pelancong asing. Kesejukan air gunung dan kehijauan pemandangannya menjadikan Genting sebagai salah satu tempat yang sesuai bagi para pengunjung yang ingin lari dari kesibukan di kota.

Terdapat pelbagai aktiviti menarik yang boleh dilakukan oleh para pengunjung di Genting Highland. Antaranya para pengunjung boleh menikmati makanan yang enak dan lazat di Genting Theatre Restaurant disamping dapat menyaksikan persembahan hebat daripada bintang antarabangsa. Selepas menikmati hidangan tersebut, anda boleh bersuka ria di Taman Tema Genting yang menyediakan pelbagai jenis permainan yang mengasyikkan serta mencabar seperti Space Shot, Superman, Cork Screw, dan banyak lagi.

Bagi para pengunjung yang ingin menginap di Genting Highland, Awana Golf & Country Resort menawarkan kemudahan bilik hotel kelas pertama. Disamping itu, resort ini juga menyediakan lapangan golf 18 lubang bagi mereka yang meminati sukan ini. Selain itu, bagi mereka yang meminati sukan menunggang kuda pula ada disediakan 'horse riding' dan juga 'jungle trekking di ladang Awana.

Perjalanan ke Genting Highland hanya mengambil masa satu jam dari Kuala Lumpur. Sekiranya anda ingin menyaksikan pemandangan yang lebih menarik, anda boleh menaiki kereta kabel di perbandaran Goh Tong Jaya yang terletak 950 meter dari paras laut untuk sampai ke puncak.

Sunday, March 2, 2008

Zoo Melaka

Zoo Melaka, yang terletak di Ayer Keroh, adalah salah satu tempat tarikan utama pengunjung berikutan kedudukannya yang strategik, iaitu di Lebuh Ayer Keroh, jalan utama yang menghubungkan Melaka dengan Lebuhraya Utara-Selatan.

Zoo ini dianggap sebagai salah sebuah zoo yang tertua di Malaysia dan ianya menjadi kediaman pelbagai spesies binatang yang kini diancam kepupusan. Antara binatang yang boleh didapati di zoo ini termasuklah Panda Merah, binatang dari keluarga panda tetapi berlainan dari panda yang sering dikaitan dengan simbol negara China.


Selain dari menyaksikan binatang yang dikurung di dalam kandang, pengunjung juga boleh menikmati keseronokan menaiki gajah atau kuda, yang mana sering menjadi kegemaran pengunjung muda zoo.


Tarikan lain di Zoo Melaka adalah taman mini safarinya di mana pengunjung boleh berjalan di sepanjang titian kayu untuk menyaksikan binantang dari jarak dekat. Buat masa ini, terdapat kira-kira 80 binatang dari 16 spesies yang dibiarkan bebas dalam kawasan safari seluas 1.5 hektar ini.